Tuesday, October 13, 2020

Agong Nasihati Anwar Hormati Sistem Perundangan Negara Selepas Gagal Mengemukakan Senarai Nama Ahli Parlimen Menyokongnya


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Istana Negara, tanpa mengemukakan sebarang senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.


Susulan tindakan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin AlMustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataannya, berkata Presiden PKR itu mengemukakan jumlah Ahli Parlimen terbabit ketika diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira 25 minit, pagi tadi.



"Adalah dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Negara pada jam 11 pagi tadi.


"Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Anwar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.


"Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut, " katanya menerusi satu kenyataan Istana Negara, hari ini.



Ahmad Fadul berkata, susulan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati Anwar supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Sunday, October 11, 2020

Wong Soon Koh 'Copy Paste' Inisiatif Pembangunan Kerajaan GPS, Tetap Batalkan Projek Mega Untuk Rakyat


SIMANGGANG: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh 'copy paste' inisiatif yang sedang dilaksanakan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, PSB akan menyalur segala peruntukkan tersebut untuk transformasi dan membangunkan luar bandar.

“Kita akan memastikan rakyat Sarawak terutama luar bandar dapat menikmati air dan bekalan elektrik sepenuhnya dalam tempoh singkat.

“Malah, semua rumah panjang dan kampung akan dihubungkan dengan sistem jalan raya yang lebih baik... selain talian komunikasi untuk memudahkan panggilan telefon serta Internet untuk anak-anak kita," katanya.

Ketika ini Kerajaan GPS telah memberikan banyak menyalurkan pembangunan kepada masyarakat Sarawak termasuk mereka yang mendiami di kawasan luar bandar dengan pelbagai kemudahan menerusi Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Projek Perumahan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), Projek Rakyat, Projek Bekalan Air Sarawak, Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, penduduk di kawasan luar bandar dan bandar turut menerima bantuan menerusi Kenyalang Gold Card (KGC) kepada warga emas, bantuan RM1,000 bagi anak yang baru dilahirkan, bantuan ibu bersalin dan banyak lagi. 

Dalam pada itu, tegas Wong Soon Koh lagi, jika rakyat memberi mandat kepada PSB, mereka akan membatalkan projek mega yang dikatakan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, PSB komited menyusun semula segala inisiatif pembangunan mengikut keutamaan serta membatalkan projek-projek mega yang tidak memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

Jika ini berlaku, ternyata rakyat di Sarawak yang menyokong PSB bersengkongkol dengan mereka yang tidak mahukan pembangunan.

Mana tidaknya, projek mega itu adalah keperluan rakyat yang selama ini telah dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti jambatan, jalan raya, sekolah, kemudahan air dan elektrik, rumah dan sebagainya. 

PSB ini boleh disamakan dengan Kerajaan PH selama 22 bulan yang bukan sahaja menidakkan pembangunan di Sarawak, tetapi juga sebagai parti politik yang bukan berjuang untuk rakyat Sarawak. 

Tuesday, June 9, 2020

Kerajaan Sarawak Serah Geran Pendidikan Berjumlah RM9 Juta Kepada Sekolah Persendirian Cina


KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan geran pendidikan berjumlah RM9 juta kepada Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah-Sekolah Cina Persendirian Sarawak.

Geran tersebut telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Menengah Chung Hua Kuching No. 1, 3 dan 4 Datuk Richard Wee di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.

Sementara itu, Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah-Sekolah Cina Persendirian Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih di atas pengiktirafan Kerajaan Sarawak dengan memberi sumbangan pendidikan kepada sekolah Cina di negeri ini.

“Sebelum ini, pada tahun 2014, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk 14 Sekolah-Sekolah Cina Persendirian.

“Bagaimanapun, jumlah itu meningkat setiap tahun pada tahun 2015 kepada RM4 juta dan meningkat kepada RM5 juta pada tahun 2016, RM6 juta pada 2017, RM7 juta pada 2018 dan RM8 juta pada 2019.

“Secara keseluruhannya, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM33 juta dalam tempoh enam tahun ini,” katanya.

Parti AMANAH Demak Laut Aktifkan Jentera Pilihan Raya Dalam Masa Terdekat


KUCHING: Parti AMANAH Negara (AMANAH) Cawangan Demak Laut akan mengaktifkan jentera pilihan raya dalam masa terdekat ini khususnya dalam memberi penerangan berkaitan isu semasa kepada semua ahli di kawasan.

Timbalan Pengerusinya, Mohamad Zen Haji Peli berkata, selain sesi penerangan, turut diadakan ialah beberapa program yang sedang dirangka bagi mendekati pengundi di kawasan walaupun ia hanya berskala kecil.

“Bagaimanapun, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan selepas 9 Jun ini, pihaknya akan mencari alternatif lain bagi mengadakan program itu dapat dilaksanakan di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

“Sebenarnya banyak program yang rancang pada tahun ini ditangguh dan dibatalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak 18 Mac lalu.

“Justeru, saya berharap sekiranya PKPB tidak dilanjutkan lagi selepas 9 Jun ini, kita akan berusaha sebaik mungkin supaya program yang dirancang itu dapat diadakan secepat mungkin,” ujar beliau ketika ditemui di Kuching baru-baru ini. 

Ketika ini, pihaknya hanya dapat berhubung dan berbincang dengan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) melalui kumpulan WhatsApp dan sidang video sepanjang PKP dan PKPB ini.
“Pihaknya kini masih berusaha untuk mendaftar ahli-ahli baharu yang semakin bertambah dari masa ke semasa yang dianggarkan seramai 700 orang.

“Alhamdulilah setakat ini AMANAH Cawangan Demak Laut sudahpun mempunyai seramai lebih kurang 3,000 ahli yang berdaftar.

“Selain itu, kita juga masih menanti kelulusan pendaftaran ahli dan cawangan lain yang diuruskan oleh Pejabat AMANAH Negeri Sarawak,” ujarnya. 

Ekoran pelaksanaan PKP dan PKPB, segala urusan pendaftaran ahli-ahli baharu sedikit perlahan memandangkan jarak perjalanan ke kampung di sekitar Demak Laut amat terbatas.

Keahlian Parti AMANAH Di Beting Maro Mencecah 3,000 Orang


BETONG: Sehingga kini, keahlian Parti AMANAH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro mencecah seramai 3,000 orang. 

Pengerusi AMANAH Cawangan Beting Maro, Haji Kassim Rosli berkata, jumlah itu merupakan yang telah diluluskan selepas didaftar melalui Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching.

“Secara dasarnya, ahli-ahli yang berdaftar sebagai ahli AMANAH merupakan golongan nelayan, suri rumah, belia selain anak-anak kampung di sekitar kawasan Beting Maro yang bekerja di luar.

“Setakat ini, jumlah keahlian AMANAH adalah seramai 3,000 orang. Ini adalah sesuatu yang amat baik untuk kita memperjuangkan nasib rakyat di Beting Maro.

“Ini ditambah lagi, kerajaan negeri sedia ada di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah gagal sama sekali menyelesaikan banyak isu terutamanya masalah air di DUN Beting Maro,” ujarnya. 

Menurut Kassim lagi, beliau menjangkakan lebih ramai lagi yang bakal menyertai AMANAH dalam masa terdekat nanti.

“Setakat ini sebanyak 15 cawangan telah lulus didaftarkan manakala lima masih dalam proses serta tiga lagi dalam penubuhan.

“Alhamdulilah…ternyata parti AMANAH kini menjadi platform penduduk dan masyarakat di Beting Maro dalam memperjuangkan hak-hak khususnya berkaitan isu-isu di kampung.

“Bayangkan 56 tahun, isu air di sini tiada kesudahannya walapun setiap kali menjelang pilihan raya kerajaan berjanji akan menyelesaikannya.

“Ramai penduduk yang juga merupakan pengundi tegar GPS kecewa dengan masalah air yang terus berpanjangan di kampung-kampung mereka,” tambahnya. 

100 Hari Memerintah Malaysia, Muhyiddin Buktikan Kemampuan


KUALA LUMPUR: Hari ini, genaplah 100 hari pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, menerajui pentadbiran negara sejak 1 Mac dengan menggalas tanggungjawab paling besar di saat negara dilanda krisis kesihatan akibat penularan pandemik COVID-19 selain badai ekonomi.

Beliau yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hazrul Shahiri, Muhyiddin bukan sahaja mengubah isu kesihatan COVID-19 untuk menjadi peluang membuktikan kemampuannya sebagai Perdana Menteri, malah berusaha memulihkan ekonomi negara dan menstrukturkan semula kitaran ekonomi.

"Tindakan pertama yang dilakukan dalam menghadapi cabaran itu ialah melantik pakar ekonomi untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berperanan merangka dasar fiskal jangka pendek dan panjang bagi menangani krisis kemelesetan ekonomi," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 100 hari pertama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, khususnya dari segi pemulihan dan pembangunan ekonomi negara.

Kemuncak krisis ekonomi negara adalah ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas yang telah mengganggu keseluruhan kitaran ekonomi domestik, berikutan penutupan aktiviti perkilangan, perniagaan dan pekerjaan, katanya.

Hazrul berkata, PKP yang dilaksanakan demi membendung penularan jangkitan COVID-19 bukan sahaja telah menjejaskan permintaan dalam pasaran barang serta penawaran dalam pasaran faktor yang ditunjangi oleh pekerja malah memberi kesan negatif kepada pendapatan negara, perniagaan syarikat dan perbelanjaan rakyat.

"Pelaksanaan PKP adalah ancaman ekonomi paling besar dihadapi oleh pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh Muhyiddin. Ia cabaran ekonomi paling berat yang tidak pernah dihadapi oleh semua perdana menteri Malaysia sebelum ini.

"Krisis ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19 adalah jauh lebih besar daripada krisis kewangan 1998 dan kemelesetan ekonomi di era 1980-an," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10 hari sebaik sahaja PKP berkuat kuasa telah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara.

"Ia telah disifatkan sebagai satu tindakan yang pantas dan tepat pada masanya untuk mengimbangi usaha membendung penularan pandemik COVID-19 dan proses pemulihan ekonomi, dengan jumlah yang jauh lebih besar daripada peruntukkan kerajaan untuk pelan pemulihan ekonomi pada 2009 iaitu sebanyak RM67 bilion.

"Pentadbiran kerajaan Malaysia dengan pimpinan Muhyiddin telah berupaya untuk tidak bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika banyak negara (sekurang-kurangnya 80 negara) telah memohon bantuan daripada tabung berkenaan untuk memulihkan ekonomi negara mereka," katanya.

Hazrul berkata, menyedari kesukaran usaha pemulihan ekonomi yang melibatkan perdagangan antarabangsa memandangkan ekonomi dunia juga telah dilumpuhkan oleh COVID-19, Perdana Menteri menumpukan aspek pembangunan ekonomi domestik untuk memperlahan dan mengurangkan penyusutan mendadak dalam perbelanjaan dan pelaburan swasta.

Selepas pakej ekonomi PRIHATIN, Muhyiddin mengumumkan pula Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang bertujuan memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan operasi mereka dalam keadaan mencabar serta mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran, katanya.

"Kemudahan seperti subsidi upah, bantuan kepada PKS dan kredit mikro telah membantu syarikat untuk kekal bertahan dalam industri walaupun tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

"Ia bukan sahaja usaha untuk melindungi rakyat melalui pengurangan beban serta menjamin pekerjaan malah sebagai sokongan kepada perniagaan dengan meningkatkan aliran tunai, walaupun ia tidak dapat menggantikan nilai aliran tunai sebenar namun masih memberi ruang kepada rakyat untuk berbelanja," katanya.

Beliau berkata, walaupun COVID-19 telah merosakkan ekonomi dunia tetapi tindakan pantas dan betul oleh kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin berjaya mengelakkan kesan ekonomi yang lebih buruk.

Kelonggaran sekatan pergerakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat telah memberi ruang dan peluang untuk aktiviti ekonomi bergerak semula dan melakukan penyesuaian di era pasca-COVID-19, katanya.

"Peningkatan indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia setakat ini merupakan satu isyarat keyakinan pelabur untuk kembali menyumbang kepada ekonomi dan mempercepat proses pemulihan," katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri juga mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berkuat kuasa mulai 10 Jun hingga 31 Ogos, 2020, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan lebih banyak kelonggaran diberikan.

Justeru, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB).

Selain itu aktiviti komersial melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan; lawatan ke muzium; aktiviti 'indoor busking'; akitiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial turut dibenarkan semasa PKPP.

Muhyiddin berkata, selaras fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan, namun bagi yang berhasrat melancong ke luar negara, perlu 'tunggu dahulu' kerana sempadan negara masih ditutup buat masa ini. - BERNAMA

Kerajaan Bincang Isu Harga Tiket Penerbangan Mahal Ke Sabah Dan Sarawak


KUCHING: Kementerian Pengangkutan kini sedang berbincang dengan syarikat penerbangan berhubung isu harga tiket penerbangan domestik yang dikatakan mahal terutamanya ke Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hasil perbincangan itu akan diberitahu kepadanya dalam masa terdekat.

“Kita faham harga tambang penerbangan mahal kerana pelaksanaan penjarakan sosial jadi tidak boleh berkapasiti penuh. 

“Dengan pematuhan penjarakan sosial, hanya 66 peratus sahaja ruang yang dipenuhi di dalam kapal terbang itu. 

“Kita tahu harga tiket mencecah hampir RM2,000 bagi sehala penerbangan contohnya dari Miri ke Kuala Lumpur, justeru kita akan berbincang... semoga tidak ada isu lagi untuk mereka menaikkan harga tambang dan sebagainya,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Tambah Ismail Sabri lagi, terdapat permohonan daripada pihak syarikat penerbangan agar penumpang boleh memenuhi kerusi di dalam kapal terbang. 

"Mereka memberi alasan segala butiran penumpang boleh diperoleh melalui manifes syarikat berkenaan dan mereka (penumpang) di setiap penerbangan juga boleh dikesan jika berlakunya kes dan perlu dihubungi.

"Tetapi yang paling penting sekarang adalah SOP (Prosedur Operasi Standard) perlu dipatuhi untuk membendung penularan wabak COVID-19,” tambahnya. 

Sebelum ini, ramai di kalangan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati dengan harga tiket penerbangan domestik yang dikatakan agak mahal dan menjadi topik hangat di media sosial.

Ini disebabkan ramai di kalangan rakyat yang mahu pulang ke kampung susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun ini yang membenarkan pergerakan rentas negeri dengan ramai yang perlu kembali ke tempat bertugas.