Tuesday, June 9, 2020

Keahlian Parti AMANAH Di Beting Maro Mencecah 3,000 Orang


BETONG: Sehingga kini, keahlian Parti AMANAH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro mencecah seramai 3,000 orang. 

Pengerusi AMANAH Cawangan Beting Maro, Haji Kassim Rosli berkata, jumlah itu merupakan yang telah diluluskan selepas didaftar melalui Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching.

“Secara dasarnya, ahli-ahli yang berdaftar sebagai ahli AMANAH merupakan golongan nelayan, suri rumah, belia selain anak-anak kampung di sekitar kawasan Beting Maro yang bekerja di luar.

“Setakat ini, jumlah keahlian AMANAH adalah seramai 3,000 orang. Ini adalah sesuatu yang amat baik untuk kita memperjuangkan nasib rakyat di Beting Maro.

“Ini ditambah lagi, kerajaan negeri sedia ada di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah gagal sama sekali menyelesaikan banyak isu terutamanya masalah air di DUN Beting Maro,” ujarnya. 

Menurut Kassim lagi, beliau menjangkakan lebih ramai lagi yang bakal menyertai AMANAH dalam masa terdekat nanti.

“Setakat ini sebanyak 15 cawangan telah lulus didaftarkan manakala lima masih dalam proses serta tiga lagi dalam penubuhan.

“Alhamdulilah…ternyata parti AMANAH kini menjadi platform penduduk dan masyarakat di Beting Maro dalam memperjuangkan hak-hak khususnya berkaitan isu-isu di kampung.

“Bayangkan 56 tahun, isu air di sini tiada kesudahannya walapun setiap kali menjelang pilihan raya kerajaan berjanji akan menyelesaikannya.

“Ramai penduduk yang juga merupakan pengundi tegar GPS kecewa dengan masalah air yang terus berpanjangan di kampung-kampung mereka,” tambahnya. 

0 comments:

Post a Comment