Monday, June 8, 2020

Tindakan Keluar PKR, Trend Kesedaran Politik Terkini


KUCHING: Tindakan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat sebagai trend kesedaran politik terkini demi kestabilan politik negara dalam berdepan ancaman pandemik COVID-19.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang berkata, ia adalah hasrat bersama rakyat untuk memperkukuhkan kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang amat prihatin terhadap rakyat. 
"Saya lihat ini sebagai trend kesedaran politik terkini bagi hasrat bersama rakyat untuk memperkukuhkan kerajaan pusat yang diterajui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang amat prihatin terhadap nasib rakyat. 
"Saya ingin mengucapkan syabas kepada Ahli Parlimen Lubok Antu Yang Berhormat Jugah diatas kebijaksanaannya," katanya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, kerajaan hasil kolaborasi dan kerjasama dengan komitmen dan semangat bertanggungjawab antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mampu menangani masalah dalam menempuhi wabak COVID-19. 
"Ini telah menambat hati dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta kewibawaan kerajaan ini," tambah Idris. 

Keluar Parti, Petanda PKR Bakal Terkubur


KUCHING: Keputusan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas merupakan petanda parti tersebut bakal terkubur di Sarawak.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menambah, ia menunjukkan petanda baik kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Pada pandangan saya ia satu petanda baik kepada GPS dan petanda PKR akan terkubur untuk selamanya di bumi Sarawak," katanya dalam kenyataan bagi mengulas keadaan politik Sarawak terkini pada Sabtu. 
Tambah Menteri Belia dan Sukan itu, Jugah semestinya telah memikirkan perkara itu sedalamnya sebelum membuat keputusan ini.
"Demi masa depan kerjaya beliau dan juga negeri dan negara, keputusan beliau adalah satu keputusan yang bijak tanpa tekanan dan imbuhan.
"Kenyataan beliau memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan GPS akan mengukuh kedudukan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang pada masa ini menerima serangan bertubi-tubi dari Pakatan Harapan (PH) yang berusaha mengugat kedudukan beliau," tambahnya. 

Bekas ADUN Bukit Assek Meninggal Dunia


SIBU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Daniel Ngieng Kiong Ann meninggal dunia pada usia 68 tahun di Auckland, New Zealand pada Ahad.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dalam laman Facebook miliknya memaklumkan perkara tersebut.

"Berita sedih...bekas Ahli Berhormat (YB) Bukit Assek, Daniel Daniel Ngieng Kiong Ang meninggal dunia secara mengejut di Auckland.

"Beliau yang berumur 68 juga merupakan bekas merupakan Timbalan Pengerusi MPS sehingga 2014.

"Saya mengucapkan takziah kepada isterinya, Grace Lim serta ahli keluarga mendiang yang lain di atas pemergiannya," katanya.

Ngieng menyertai SUPP pada tahun 1987.

Mendiang pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, menjadi ADUN Bukit Assek selama satu penggal selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-8 pada tahun 2001.

Beliau yang bertanding pada PRN pada 2006 atas tiket Parti Sarawak Bersatu (SUPP)/ Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek apabila tewas kepada calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), mendiang Wong Ho Leng.

Pada tahun 2010, mendiang Ngieng dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPS dan menyandang jawatan itu sehingga 2014.

Mendiang telah berhijrah ke New Zealand pada tahun 2015.

Ahli Parlimen Lubok Antu Keluar PKR, Zahirkan Sokongan Kepada Muhyiddin Dan Abang Jo


KUCHING: Ahli Parlimen Lubok Antu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Jumaat. 

Beliau turut menyatakan ikrar sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

"Saya telah berbincang dengan para penyokong saya dan mereka bersetuju agar saya menyokong penuh kerajaan PN demi kebaikan dan pembangunan kawasan Lubok Antu," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, beliau bertanding sebagai calon Bebas dan menang atas mandat rakyat sebelum bersama para penyokongnya menyertai PKR yang menjadi sebahagian kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tindakan Keluar PKR Langkah Bijak Dan Bagus


KUCHING: Keputusan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah langkah yang bijak dan bagus. 

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Julaihi Narawi berkata tindakan itu dapat memperkukuhkan lagi kepimpinan luar bandar. 

"Ia adalah langkah yang bijak dan bagus untuk kita (kerajaan GPS) bersama-sama memperkukuhkan lagi kepimpinan luar bandar supaya dapat sama-sama menyumbang ke arah kepesatan dan kelancaran pembangunan kawasan luar bandar," katanya menerusi akhbar tempatan Utusan Borneo.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu menambah, ia juga dapat membantu memperseimbangkan rentak pembangunan yang disusun atur kerajaan negeri dan pusat khususnya untuk kawasan luar bandar. 

"Harapan saya biar ikhlas dan jujur. Kurangkan 'politiking' supaya lebih fokus kepada pembangunan terutama kawasan luar bandar yang kita wakili," kata Julaihi. 

Semalam, Jugah menerusi kenyataan mengumumkan beliau keluar PKR dan memberi sokongan kepada kerajaan PN serta mengisytiharkan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg untuk menerajui Sarawak.