KUCHING: Tindakan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat sebagai trend kesedaran politik terkini demi kestabilan politik negara dalam berdepan ancaman pandemik COVID-19.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang berkata, ia adalah hasrat bersama rakyat untuk memperkukuhkan kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang amat prihatin terhadap rakyat.
"Saya lihat ini sebagai trend kesedaran politik terkini bagi hasrat bersama rakyat untuk memperkukuhkan kerajaan pusat yang diterajui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang amat prihatin terhadap nasib rakyat.
"Saya ingin mengucapkan syabas kepada Ahli Parlimen Lubok Antu Yang Berhormat Jugah diatas kebijaksanaannya," katanya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, kerajaan hasil kolaborasi dan kerjasama dengan komitmen dan semangat bertanggungjawab antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mampu menangani masalah dalam menempuhi wabak COVID-19.
"Ini telah menambat hati dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta kewibawaan kerajaan ini," tambah Idris.
0 comments:
Post a Comment